Pages

Monday, June 25, 2012


...............................................................................
In the Name of Allah, The Most Beneficent, The Most Merciful
Praise be to Allah, Lord of the Worlds
Any kind of language coming from Him
................................................................................



Kelas tutorial fizik petang itu tamat pada tepat jam 5 petang.

Pensyarah yang mengajar sudah pun meninggalkan kelas. Rakan-rakan sekelas sudah mula beransur meninggalkan bilik tutorial itu.

Masing-masing dengan wajah keletihan, berkejar ke sana ke mari sepanjang hari.

Begitulah rutin hidup semua pelajar KMS. Kehidupan sebagai pelajar matrikulasi memang meletihkan.

Namun dia mengingatkan dirinya, sesibuk manapun kehidupan, jangan sampai melupakanNya.

Rasulullah SAW jauh lebih sibuk sebagai seorang Rasul, panglima perang, pentadbir negara Islam Madinah, imam, namun Bagindalah insan yang paling mengingati Allah SWT.

Melihat kawasan bilik tutorial yang sudah kosong, dia bangun perlahan. Mencapai begnya dan digalas di bahu.

Dia berjalan perlahan meninggalkan bilik tutorial itu.

Tiba di luar kawasan bilik tutorial, dia mendongak sedikit melihat ke langit. Suasana agak redup pada petang itu. Tenang.

Baru mencecah 3 bulan kehidupannya di KMS. Pelbagai suka duka dilalui.

Matanya kemudian tertancap pada Surau As-Sufi di hujung Dataran Kosmik sana. Destinasinya, ke surau suci itu untuk menunaikan solat asar.

Dia tiba di pintu utama surau 2 minit kemudian.

Beg diletakkan di tepi tiang surau, berlalu ke tempat wuduk.

Tenang sedikit hatinya setelah berwuduk.

Dia kemudian melangkah masuk ke surau dan memilih tempat berdekatan dengan pintu masuk surau di hujung belah sana. Ingin bersendirian.

Beberapa rakannya yang lain baru selesai bersolat.

Dia hanya tersenyum apabila rakan-rakannya menegur. Kebanyakannya sudah mahu beransur.

Perlahan dia mengangkat takbir dan bersolat. Khusyuk.

Selesai memberi salam, dia berwirid perlahan.

Hatinya begitu tenang setelah menunaikan kewajipan 5 waktunya. Lama dia berwirid.

Tangan kemudian ditadah, ingin 'bersembang' dengan Sang Pencipta. Doanya didahului dengan pujian-pujian terhadapNya.

"Ya Allah, lindungilah aku dari sifat putus asa. Ajarkan aku untuk mendidik jiwa ini, ya Allah. Aku ingin punya hati yang tenang, hati yang tidak berasa sakit atas setiap ujianMu, hati yang tidak terguris dengan mainan takdir yang selalu menguji. Janganlah kiranya aku tergolong dalam golongan hambaMu yang sombong. Aku ibarat menyusuri pantai dan padang tandus. Di mihrabMu aku adalah pemburu cahaya dengan bekal tauhid dan keimanan yang membentang di layar dada. Ya Allah, beri aku waktu yang cukup banyak untuk berbakti kepada ibu dan ayahku. Panjangkan umur mereka, panjangkan umurku, beri aku waktu. Banyak sekali yang ingin aku lakukan untuk mereka. Banyak sekali perkara yang ingin aku korbankan untuk membahagiakan mereka. Ya Allah, selamatkanlah hati, jiwa dan imanku. Bantu aku memelihara kesucian hatiku, jangan sampai ternoda dicalari dosa. Teguhkan hati ini dengan cintaMu, ya Allah. Ya Allah yang membolak balikkan hati, istiqamahkan aku di jalanMu. Berikan aku kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah diriku dari seksa neraka!".

Selesai menyapu muka dengan kedua belah tangannya, jemarinya dirasakan basah.

Tidak disedari air mata yang mengalir kerana kekhusyukan berdoa.

Hatinya bertambah tenang lagi untuk ke sekian kalinya.

Dia mencapai kitab suci al-Quran di rak berdekatan dan membaca kalam Allah itu beberapa mukasurat.

Semakin tenang hatinya setelah selesai membaca al-Quran. Tersentuh hatinya sebaik mengucup kitab suci umat Islam itu.

Al-Quran itu kembali diletakkan di tempat asalnya.

Pandangannya di arah ke luar surau, melihat kembali langit KMS yang tenang pada petang itu.

Bibirnya menguntum senyuman apabila terpandang akan anak-anak pensyarahnya yang sedang bermain basikal sambil bergelak ketawa riang.

Zaman kanak-kanaknya sudah berlalu.

Pemikirannya perlu ke hadapan, merancang teliti perjalanan masa depannya yang masih panjang.

Dia bangun perlahan menuju ke luar surau, mencapai begnya dan bergerak meninggalkan surau.

Langkahnya dipenuhi dengan azam baru bagi menempuh hari mendatang!




Mumtaz for Ummah. Mari Jadi Hamba Superb! ^^

No comments:

Post a Comment